DELL Malaysia hari ini melancarkan tiga model komputer riba terbarunya, Inspiron 13 7000 2-dalam-1, Inspiron 15 7000 dan Inspiron 13 5000 2 dalam 1 yang menawarkan pengalaman visual dan prestasi yang menakjubkan pada harga berpatutan.
Pengurus Pengguna Perniagaan Malaysia dan Singapura Dell, Jarebb Chua berkata, inovasi yang ditampilkan dalam setiap model terbaru berkenaan adalah komitmen Dell ke arah menawarkan komputer riba terbaik kepada seluruh pengguna di Malaysia dan di peringkat global.
"Kesemua barisan yang diperkenalkan hari ini dicipta dengan rekaan terbaik bersama pengalaman visual dan prestasi yang dipertingkatkan," katanya pada majlis pelancaran Kedai Eksklusif Dell bersama pengenalan komputer riba Inspiron 2-dalam-1 dan XPS 13 terbaru di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengurus Jenama Konsumernya Charllie Cheah berkata, Inspiron 13 7000 2 dalam 1 direka dengan paparan HD penuh pada resolusi 1920x1080 selain mempunyai teknologi SmartByte untuk menawarkan pengalaman menonton video mahupun filem tanpa sebarang gangguan.
Inspiron 13 7000 2-dalam-1 yang dikuasakan oleh pemprosesan Intel Core Generasi ke-8 dan hadir bersama USB Type-C terbabit disasarkan khusus untuk mereka yang sering melakukan tugasan secara mudah alih.
Manakala Inspiron 15 7000 yang didatangkan dengan rekaan nipis dan ringan direka untuk menjadi peneman penggembaraan terbaik buat pengguna.
Inspiron 13 5000 2-dalam-1 pula berupaya menawarkan prestasi terhebat menerusi komputer riba bersama reka bentuk super nipis.
Ketiga-tiga model berkenaan dijual pada harga bermula RM3,599.