Xiaomi Mi Mix menjadi phablet dengan faktor ‘wow’ apabila sekali pandang memang tidak akan kelihatan dinding telefon kerana ia seolah-olah paparan imej terapung menyerlahkan imej cantik pada skrin.
Mana tidaknya, telefon ini datang dengan nisbah paparan sehingga 91.3 peratus yang menonjolkan tahap inovasi dalam aspek skrin depan tanpa bezel.
Sekali gus, ia bermakna jarak antara skrin dan hujung telefon kini seolah-olah tiada lagi dipamerkan dan penguji yang mencubanya memang mengakui kehebatan peranti ini menampilkan skrin jenis itu yang sebelum ini dilihat pada Sharp Aquos.
Paparan IPS yang hampir tiada bezel ini bagaimanapun hanya cukup untuk 1080p, secara teknikalnya ia 2040 x 1080 piksel yang membolehkannya mempunyai nisbah aspek 17:9 iaitu sedikit lebar berbanding ‘frame’ video yang biasa.
Namun, Xiaomi terpaksa membuang beberapa komponen utama di ruang depan telefon seperti kamera depan dan penerima panggilan yang digantikan dengan inovasi khas getaran bagi mendengar suara pemanggil.
Agak menjengkelkan kalau mahu berselfie kerana penguji terpaksa memusing telefon 180 darjah memandangkan kameranya terletak di bawah berbanding atas seperti kebanyakan telefon biasa, tapi ia bukan isu besar.
Xiaomi Mi Mix memiliki skrin besar bersaiz 6.4 inci dengan resolusi HD penuh dan kalau sudah biasa memang mudah saja menggunakannya.
Meskipun tiada pembesar suara di atas untuk mendengar panggilan, tapi masih boleh menerima atau membuat panggilan seperti biasa dan mendengar suara di pihak sebelah berasaskan getaran suara hasil teknologi Xiaomi.
Uniknya, orang lain masih tidak boleh mendengar panggilan terbabit meskipun suaranya boleh dikatakan datang dari belakang.
Xiaomi Mi Mix memanfaatkan Snapdragon 821 dan RAM 4GB boleh dikatakan lancar. Bagaimanapun, penanda aras Antutu menunjukkannya markah 121270 yang bermakna ia lebih rendah berbanding Mi5s.
Mi Mix menggunakan port USB-C dan baterinya pula berkapasiti 4400mAh. Penguji mampu mengecas dalam tempoh dua jam bagi memperoleh hingga 73 peratus bateri.
Sayang, jika ia dijual secara rasmi di Malaysia sudah pasti menjadi gajet pilihan penguji.