Memilih telefon pintar nampak mudah, tapi sebenarnya ia boleh mengakibatkan kerugian besar dan mengganggu emosi sekiranya tersalah pilih.
Kita biasa mendengar produk ‘flagship’ yang ditonjolkan syarikat pengeluar ataupun saranan kawan terdekat, namun melihat harganya mungkin menyebabkan kita mengeluh kerana tidak mampu membelinya.
Tambahan pula, produk flagship mempunyai nilai harga paling kurang RM2,000 itu pun jika anda bertuah.
Nilai flagship dengan kadar tukaran mata wang sekarang mungkin mencecah harga sehingga RM3,500.
Sebab itu kita memerlukan alternatif kepada produk ‘flagship’ ini yang masih menepati atau menghampiri ciri yang ada pada nilai bajet.
Tambahan pula, jika ada yang memperoleh bonus nanti dan ingin berbelanja atau menukar gajet pada hujung tahun boleh mengikut cadangan IT@Metro ini.
Bagi individu yang ingin mendapatkan telefon pintar, tapi masih ragu-ragu dengan pilihan yang ada, barisan produk seperti siri Samsung Galaxy J paling hampir untuk disambar.
Sebelum memilih telefon masing-masing, cuba lihat kegunaan mengikut segmen yang kerap kita perlukan sama ada selfie, wefie, kerap melayan aktiviti ‘online’ atau gajet yang ngam-ngam bajet dalam poket.
Samsung Siri J mempunyai pilihan menepati ciri terbabit, misalnya jika anda minat berselfie atau berwefie boleh mencuba Samsung Galaxy J7 Prime atau J5 Prime.
Kedua-duanya berharga RM1,199 atau RM899 dan mempunyai kamera depan yang cukup baik untuk berbuat demikian.
Apatah lagi dengan mod selfie Wide Selfie yang boleh memuatkan ramai subjek dalam satu gambar jadi kalau mahu lebih enam individu bergambar bersama pun bukan satu masalah besar.
Biasalah apabila tangan sudah cukup panjang merakam foto, mungkin tidak tercapai butang rakam, tapi tidak mengapa kerana telefon ini mengesan gerakan tapak tangan dan merakam foto mengikut isyarat khas.
Kamera depan 8MP dengan apertur f1.9 bagi J7 Prime memang mengagumkan untuk berselfie manakala resolusi 5MP dengan f2.2 untuk J5 Prime pun sudah cukup jika ciri fotografi terbabit menjadi pilihan anda.
J7 Prime mempunyai skrin 5.5 inci FHD TFT manakala J5 Prime pula 5.0 inci HD TFT dengan masing-masing lengkap pemprosesan 1.6GHz octa core serta 1.4GHz quad core pada RAM 3GB serta 2GB.
Manakala jika anda seorang yang gemar beronline dan memilih Facebook, Twitter, Instagram, Snapchat, WhatsApp dan macam-macam lagi, model J7 (2016), J5 (2016) dan J3 (2016) patut jadi pilihan.
Ketiga-tiganya boleh didapati dengan warna emas, hitam atau putih.
Masing-masing dijual pada harga RM999, RM799 dan RM599 dan boleh dikatakan gajet bajet ngam sekiranya mahu agak dekat dengan flagship yang ada.
IT@Metro cadangkan J5 yang berada antara tengah-tengah apabila lengkap mod Penjimatan Data Ultran (UDS) apabila memanfaatkan penggunaan data optimum. Mudah kata, jimat data anda!
Menurut Samsung, UDS membolehkan penjimatan sehingga 60 peratus jika anda pengguna aktif Instagram atau menonton YouTube dengan jimat data sehingga 50 peratus.
Mod UDS dalam siri ini juga memungkinkan penjimatan sehingga 50 peratus penggunaan data menggunakan rangkaian mudah alih dan pada masa menjimatkan jangka hayat untuk bertahan lebih lama.
Kini, anda tidak perlu lagi lokek dengan data dan terlalu asyik mencari WiFi hingga terlupa untuk bersosial di Internet.
Jika anda mempunyai bajet yang ketat, model J2 Prime, J1 Ace dan J1 Mini Prime patut tersenarai dalam pilihan.
Ketiga-tiganya berharga RM499, RM399 atau RM299 saja.
J2 Prime mempunyai warna pilihan emas, perak, hitam atau merah jambu manakala J1 Ace datang dengan hitam, biru atau putih.
Bagi J1 Mini Prime yang paling murah, anda boleh mencuba warna emas, putih atau hitam.
Kalau IT@Metro memilih, kami akan mendapatkan J2 Prime yang berbaloi dengan harganya pada skrin 5.0 inci jenis qHD.
Kamera depan beresolusi 5MP (f2.2) cukuplah untuk berselfie dan masih mempunyai flash LED jika anda berada di pencahayaan yang rendah.
Telefon harga rendah nilai tinggi cukup untuk aktiviti seharian dan rekaannya pun boleh tahan jadi tidaklah nampak terlalu ‘kodi’ di mata orang.
J2 Prime datang dengan pemprosesan 1.4GHz quad core serta RAM 1.5GB dengan kamera 8MP dan 5MP di depan.
J1 Mini Prime pula mempunyai skrin kecil 4.0 jenis WXGA TFT bersama pemprosesan 1.2GHz quad core pada RAM 1GB selain storan dalaman 8GB namun boleh ditambah menjadi 128GB berdasarkan slot kad mikroSD.
Galaxy J1 Ace pula mempunyai skrin 4.3 inci WXGA dengan pemprosesan 1.5GHz quad core selain kamera 5MP (f2.2) dan 2MP (f2.2) dengan kapasiti bateri 1900mAh.